Tuesday, 6 November 2018

Niat-niat Puasa Wajib dan Sunat


"Sahaja aku berpuasa pada esok hari menunaikan fardu bulan ramadhan bagi tahun ini kerana Allah Ta'ala".





"Sahaja aku puasa pada esok hari daripada menggantikan fardhu ramadhan bersama sunat syawal keranan Allah Ta'ala".




"Sahaja aku puasa esok hari daripada bulan syawal sunat kerana Allah Ta'ala".




"Sahaja aku puasa esok hari sunat hari isnin kerana Allah Ta'ala".




"Sahaja aku puasa esok hari daripada hari khamis sunat kerana Allah Ta'ala".

Hikmah Puasa

Puasa ialah ibadah badaniah, dan tindakan bersama yang berkaitan antara perasaan (kewajipan) dengan anggota badan. Amalan yang menghubungkan langsung antara batiniah dan lahiriah semasa mengerjakan ibadah puasa seseorang itu dapat mengawal pergerakan anggotanya selaras dengan kehendak jiwa.

Ketulusan, kejernihan dan kejujuran yang lahir dari amalan puasa ialah kesucian maknawi, dan bukannya kesucian lahiriah yang boleh dibersihkan dengan air pada pandangan mata kasar, tetapi kesucian rohaniah yang dapat dibersihkan dengan latihan jiwa dan amalan.

1. Mendidik orang-orang mukmin supaya budi pekerti yang mulia (luhur) dan semoga dapat mengawal seluruh hawa nafsunya dalam keinginan kepada perkara-perkara jahat (mungkar).

2. Mendidik jiwa agar biasa dan dapat menguasai diri, sehingga mudah menjalankan semua kebaikan dan meninggalkan segala larangan.

3. Membiasakan orang yang berpuasa dengan sifat sabar dan tahan dengan ujian.

4. Mendidik jiwa agar dapat memegang amanah sebaik-baiknya, kerana orang yang berpuasa itu sebagai seorang yang mendapat amanah untuk tidak makan dan minum atau hal-hal yang membatalkannya. Sedang amanah itu harus dapat dipegang teguh, baik di hadapan orang ramai mahupun ketika dalam keadaan sendirian.

5. Mendidik manusia supaya jangan mudah terpengaruh dengan sifat kebendaan, sekalipun ia dalam keadaan kesempitan atau kesusahan. Kerana orang Islam hendaklah berusaha dan mempertahankan keperibadian maruah diri dan juga kemuliaan Islam itu sendiri. Oleh yang demikian jangan sampai dia terjerumus dalam kemaksiatan disebabkan oleh kesempitan tersebut.

6. Diselidiki dari kesihatan, puasa sangat berfaedah untuk menjaga dan memperbaiki kesihatan. Kerana punca segala penyakit adalah datang dari perut, jika perut dijaga dan diberi kesihatan sudah tentu ia akan menjamin kepada kesihatan.

7. Menguatkan iman dan melahirkan insan yang sentiasa bersyukur kepada Allah atas kurniaan dan nikmat Allah kepadanya. Dengan itu jadilah mereka orang-orang yang bertakwa dan berbudi mulia.

8. Menanamkan rasa cinta kasih sesaman manusia terutama kepada orang-orang miskin, orang-orang yang menderita kelaparan dan kesengsaraan. Dengan latihan berlapar sepanjang hari selama sebulan itu mampu melahirkan orang yang memahami penderitaan orang miskin.

Hikmah Disembunyikan Lailatul Qadar

Para ulama' salaf berkata: Allah menyembunyikan maam lailatul qadar daari pengetahuan manusia dengan beberapa nikmat yang tersembunyi:

1. Allah menyembunyikan malam lailatul qadar dalam beberapa malam supaya kita menghidupkan malam-malam tersebut dengan amal ibadah.

2. Allah menyembunyikan saat ijabah pada hari jumaat supaya kita berdoa sepanjang hari.

3. Allah menyembunyikan mana-mana ketaatan yang mendapat keredhaanNya supaya kita mengerjakan semua ketaatan dengan sepenuh hati.Dan disembunyikan maksiat yang dimurkai Allah supaya kita sentiasa berwaspada menjauhi segala bentuk kemaksiatan.

4. Allah menyembunyikan saat kedatangan hari kiamat supaya kita selalu bersiap sedia.

Menghidupkan malam lailatul qadar ialah dengan mengerjakantaat (perintah) seperti sembahyang tahajjud, beristighfar, berzikir, membaca al-Quran, iktikaf, memperbanyakkan ihsan serta bersedekah. Kelebihanmengerjakan amalan pada malam lailatul qadar adalah berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w. Dan orang yang mengerjakan ibadah pada malam itu sekalipun ia tidak mengetahui malam itu lailatul qadar maka dia mendapat ganjaran pahala, lebih-lebih lagi mereka yang mengetahuinya tetntu dia melaksanakan ibadah dengan lebih sempurna.

Ertinya:
"Barangsiapa mengerjakan ibadah pada malam di bulan ramadhan dengan penuh keimanan kepada Allah dan mengharapkan keredhaanNya, nescaya diampunkan Allah dosanya yang telah lalu".

Lailatul Qadar dan Keutamaannya

Lailatul qadar ialah malam yang penuh berkat, yang mempunyai keistimewaan. Beramal pada malam tersebut seperti mengerjakan sembahyang, zikir dan membaca al-Quran, lebih utama dari amalan selam seribu bulan yang tidak mempunyai lailatul qadar.

Lailatul qadar diertikan juga dengan perkataan takdir dan adakalanya bermakna kemuliaan dan kebesaran, iaitu malam yang mulia yang diturunkan al-Quran padanya. Malam lailatul qadar adalah malam yang paling mulia sepanjang tahun berdasarkan firman Allah Ta'ala dalam surah al-Qadr, ayat 1-3:

Maksudnya:
1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar,
2. Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu?
3. Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.


Keutamaannya

1. Pada malam lailatul qadar turunnya al-Quran
2. Pada malam lailatul qadar para malaikat tturun ke dunia ini untuk menyaksikan amal ibadah mereka.
3. Pada malam itu dibuka pintu langit dari terbenam matahari sehingga terbit fajar. Turunnya malaikat ke bumi, maka bertebaranlah ke seluruh pelusuk dunua, dan masuk ke dalam rumah orang-orang mukmin sambil bertasbih, tahlil dan tahmid dan memohon ampun bagi umat Nabi Muhammad s.a.w.
4. Malam lailatul qadar hanya ditentukan untuk umat Nabi Muhammad s.a.w., tetapi tidak ada bagi umat-umat Nabi sebelumnya, dan malam lailatul qadar akan berterusan sehingga hari kiamat.

Martabat Orang Yang Berpuasa

Ibadah puasa adalah salah satu rukun Islam, dan orang-orang yang mengerjakannya akan mendapat ganjaran pahala dari Allah S.W.T. Dalam ibadah puasa ini terdapat beberapa darjat atau kedudukan orang-orang yang berpuasa seperti berikut:

1. Puasa umum

2. Puasa khusus

3. Puasa khususul khusus


Puasa Umum

Puasa umum ialah puasa orang-orang yang hanya mampu menahan diri  dari makan, minum, bersetubuh di siang hari serta dapat mengawal diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan tetapi tidak boleh memelihara tata tertib puasa atau melawan kehendak hawa nafsunya, yang boleh membawa luputnya pahala ibadahnya.

Puasa Khusus

Puasa khusus ialah mereka yang mampu mengawal diri dari makan, mium, perkara yang membatalkan puasa dan berjaya mengawal hawa nafsunya dengan memelihara anggotanya dari melakukan perkara mungkar yang boleh mengurangkan pahala puasanya, seperti menjaga lidah daripada bercakap bohong, dusta, mengumpat dan sebagainya. Di samping itu mereka memperbanyakkan amalan-amalan sunat seperti membaca al-Quran, berzikir, sembahyang sunat, membuat amal kebajikan dan lain-lain. Oleh yang demikian orang-orang Islam hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai tingkat puasa khusus, mudah-mudahan amalan mereka diterima Allah.

Puasa Khususil Khusus

Ahli khususul khusus ialah mereka yang memelihara hati dari segala rupa yang selain dari Allah dan sentiasa mengingatinya. Inilah martabat puasa para nabi dan siddiqin.


Kesimpulannya; puasa yang diwajibkan ke atas kita mengerjakannya oleh al-Quran, bukanlah puasa lahir (badaniah) dan bersifat kebendaan dengan menjauhi perkara yang membatalkan puasa. Tetapi puasa yang dikehendaki ialah yang bersifat rohaniah dengan berusaha mencapai tujuan syariat yang membentuk sifat takwa pada diri muslim.

Monday, 5 November 2018

Beberapa Masalah Berhubung Dengan Ibadah Puasa

1. Makan dan minum kerana terlupa.
Bagi orang-orang Islam yang sedang berpuasa tiba-tiba makan atau minum di siang hari di bulan ramadhan kerana terlupa. Maka perbuatan kerana terlupa (tidak sengaja) tidak membatalkan puasa. Dengan kata lain dia boleh meneruskan puasanya.

2. Orang masih junub sampai terbit fajar.
 Bagi orang-orang Islam yang berpuasa di bulan ramadhan boleh berkumpul dengan suami isteri pada malam hari. Dan sekiranya sampai waktu fajar (waktu subuh) masih dalam keadaan junub (hadas besar), maka hendaklah dia segera mandi untuk menunaikan sembahyang subuh.

3. Berwudhuk di siang hari bagi orang yang berpuasa.
Rasulullah s.a.w. mengajarkan berwudhuk bagi orang-orang yang sedang berpuasa di siang hari, sesuai dengan sabdanya sebagai berikut:
"Dari Laqith bin Shabirah berkata: Aku berkata ya Rasulullah, ajarkanlah kepadaku berwudhuk. Rasulullah bersabda: Sempurnakanlah wudhuk  itu dan basuhlah di celah-celah jari dan perdalamlah menghirup air kecuali jika kamu sedang berpuasa". 

4. Bagi orang-orang perempuan atau isteri yang ingin mengerjakan ibadah puasa sunat, maka hendaklah terlebih dahulu mendapatkan keizinan daripada suaminya, sekiranya pada masa itu suaminya berada di rumah. Tetapi bagi puasa ramadhan ianya wajib dilaksanakan baginya dan tidak perlu mendapat keizinan dari suaminya. Dengan demikian menunaikan hak suami adalah utama daripada mengerjakan puasa sunat.

Puasa Yang Diharamkan

1. Puasa dua hari 'aidil fitri dan 'aidil adha.

2. Puasa tiga hari Tasyrik.

3. Puasa hari syak iaitu hari ke-30 bulan Sya'ban.
Ini kerana manusia merasa ragu-ragu apakah ia termasuk bulan Sya'ban ataupun bulan Ramadhan, disebabkan tidak sabit rukyah hilal pada waktu itu. Oleh itu tidak diharuskan berpuasa pada hari tersebut bahkan ia hendaklah dianggap sebagai baki hari bagi bulan Sya'ban.

4. Puasa pada separuh kedua bulan Sya'ban.
Walau bagaimanapun, puasa pada hari syak dan puasa pada separuh kedua bulan Syak'ban tidak diharamkan apabila hari syak bertepatan dengan hari kebiasaannya berpuasa, ataupun dia telah berpuasa pada separuh yang pertama dan disambung dengan separuh kedua bulan sya'ban.