Puasa mempunyai adab yang banyak. Kami ringkaskan seperti berikut:
1. Menyegerakan berbuka.
Ini dilakukan sejirus setelah diyakini tenggelamnya matahari. Dalilnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (1856) dan Muslim (1098) daripada Sahal bin Sa'ad r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya: "Manusia akan terus berada dalam kebaikan selagimana mereka terus menyegerakan berbuka".
Yang paling afdhal ialah berbuka dengan buah kurma yang kering ataupun basah, sekiranya tidak ada kurma, maka dengan air.
At-Tirmizi (696) dan Abu Daud (2356) telah meriwayatkan:
Maksudnya: "Nabi s.a.w. berbuka sebelum sembahyang (Maghrib) dengan beberapa biji kurma basah. Sekiranya tidak ada kurma basah, maka Baginda berbuka dengan tamar kering. Sekiranya tidak ada juga, maka Baginda menghirup beberapa teguk air, sesungguhnya ia adalah suci".
2. Sahur.
Sahur bermaksud makanan yang dimakan pada akhir malam. Dalil sahur disunatkan ialah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (1823) dan Muslim (1095). Nabi s.a.w. bersabda:
Maksudnya: "Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya dalam sahur itu ada barakah".
Hikmah disunatkan sahur adalah untuk menguatkan diri melakukan puasa.
Al-Hakim di dalam al-Mustadrak (1/425) meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
Maksudnya: "Dapatkanlah bantuan dengan memakan sahur untuk menguatkan puasa pada siang hari".
Masuknya waktu sahur ialah dengan berlalunya separuh malam. Fadhilat sahur diperolehi dengan memakan sesuatu tidak kira banyak atau sedikit ataupun sekadar meminum air sahaja. Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam sahihnya sabda Nabi s.a.w.:
Maksudnya: "Bersahurlah kamu walaupun dengan seteguk air". (Mawarid az-Zham'aan: 884).
3. Melewatkan sahur.
Ini dilakukan dengan berhenti makan dan minum ketika fajar hampir terbit. Dalilnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya (5/147) daripada Nabi s.a.w.:
Maksudnya: "Umatku terus berada dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan bersahur".
Al-Bukhari (556) meriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a.:
Maksudnya: Nabi s.a.w. dan Zaid bin Thabit bersahur. Apabila keduanya selesai bersahur, maka Nabi s.a.w. bangun mendirikan sembahyang. Kami bertanya kepada Anas; "Berapa lamakah masa antara kamu berdua selesai bersahur dan mendirikan sembahyang?". Jawabnya: "Sekadar 50 ayat yang dibacakan oleh lelaki".
4. Meninggalkan kata-kata yang mesti dijauhi.
Kata-kata yang mesti dijauhi seperti mencela, mencela, menipu, mengumpat dan menghasut. Seseorang yang berpuasa juga hendaklah menahan dirinya daripada perkara-perkara syahwat seoerti melihat wanita dan mendengar lagu-lagu. Al-Bukhari (1804) meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah bersabda:
"Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan beramal dengannya maka Allah tidak memerlukannya untuk meninggalkan makan dan minumnya".
Ketahuilah bahawa mencela, menipu, mengumpat, menghasut dan seumpamanya merupakan perkara yang sememangnya diharamkan. Namun perkara baru dalam masalah ini bagi orang-orang yang berpuasa ialah (selain ia adalah dosa) ia akan menghapuskan pahala puasa walaupun hukum puasanya sah dan dikira telah melaksanakan kewajipan. Oleh itu perkara-perkara ini dianggap sebagai adab dan sunat-sunat puasa.
5. Mandi junub sebelum fajar.
Ini dilakukan untuk memastikan dirinya bersih daripada awal puasa lagi. Ini bermakna junub tidak menidakkan puasa tetap yang lebih afdhal ialah menyelesaikannya sebelum fajar.
Dalilnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (1825) dan (1830):
Nabi s.a.w. pernah bangun pagi di dalam keadaan junubkerana jima' tanpa bermimpi kemudian Baginda mandi dan berpuasa.
Wanita haid dan nifas juga disunatkan agar mandi sebelum fajar apabila telah sempurna suci dan darah berhenti sebelum itu.
6. Tidak berbekam dan seumpamanya
Ini kerana ia akan melemahkan diri orang yang berpuasa. Dia juga hendaklah tidak merasa makanan kerana dibimbangi sesuatu akan masuk ke dalam rongganya. Ini kerana apabila sesuatu masuk ke dalam al-jauf, makapuasanya batal.
7. Berdoa sewaktu berbuka
Doa tersebut ialah:
Boleh juga berdoa dengan doa ini:
8. Menyediakan makanan untuk mereka yang berbuka puasa
Sekiranya dia tidak mampu memberikan mereka makan, dia hendaklah memberikan buah kurma ataupun minuman untuk mereka berpuasa.
Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
"Barangsiapa yang menyediakan makanan berbuka untuk orang yang berpuasa, maka dia mendapat ganjaran sepertinya (orang berpuasa) tanpa dikurangkan ganjaran orang yang berpuasa itu sedikitpun". (Riwayat at-Tirmizi (807) dan disahihkannya).
9. Banyak bersedekah, membaca al-Quran, bertadarus dan beriktikaf di masjid terutama pada 10 malam terakhir.
Anas r.a. berkata:
Rasulullah s.a.w. ditanyakan: "Wahai Rasulullah apakah sedekah yang paling utama?". Jawabnya: Sedekah pada bulan Ramadhan". Riwayat at-Tirmizi (663).