Lailatul qadar ialah malam yang penuh berkat, yang mempunyai keistimewaan. Beramal pada malam tersebut seperti mengerjakan sembahyang, zikir dan membaca al-Quran, lebih utama dari amalan selam seribu bulan yang tidak mempunyai lailatul qadar.
Lailatul qadar diertikan juga dengan perkataan takdir dan adakalanya bermakna kemuliaan dan kebesaran, iaitu malam yang mulia yang diturunkan al-Quran padanya. Malam lailatul qadar adalah malam yang paling mulia sepanjang tahun berdasarkan firman Allah Ta'ala dalam surah al-Qadr, ayat 1-3:
Maksudnya:
1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar,
2. Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu?
3. Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
Keutamaannya
1. Pada malam lailatul qadar turunnya al-Quran
2. Pada malam lailatul qadar para malaikat tturun ke dunia ini untuk menyaksikan amal ibadah mereka.
3. Pada malam itu dibuka pintu langit dari terbenam matahari sehingga terbit fajar. Turunnya malaikat ke bumi, maka bertebaranlah ke seluruh pelusuk dunua, dan masuk ke dalam rumah orang-orang mukmin sambil bertasbih, tahlil dan tahmid dan memohon ampun bagi umat Nabi Muhammad s.a.w.
4. Malam lailatul qadar hanya ditentukan untuk umat Nabi Muhammad s.a.w., tetapi tidak ada bagi umat-umat Nabi sebelumnya, dan malam lailatul qadar akan berterusan sehingga hari kiamat.