Monday 5 November 2018

Puasa Sunat

Puasa sunat (tatawwu') ialah puasa yang disunatkan. Tatawwu' bermaksud mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala dengan ibadah yang tidak difardhukan.

1. Puasa Hari Arafah
Iaitu pada 9 Zulhijjah. Ia disunatkan kepada orang yang tidak menunaikan haji (bagi bukan jemaah haji). Daripada Abu Qatadah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. ditanya mengenai puasa Arafah. Sabda Baginda:
"Ia menghapuskan dosa-dosa tahun yang lalu dan tahun yang akan datang". (Riwayat Muslim (1162)).

Hari Arafah adalah sebaik-baik hari. Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
"Tidak ada hari yang lebih ramai Allah S.W.T . membebaskan hamba-Nya dari api neraka lebih daripada hari arafah". (Riwayat Muslim (1134)).
Bagi jemaah haji, mereka tidak disunatkan berpuasa. Malah disunatkan berbuka sebagai mengikut Nabi s.a.w. dan supaya dia tetap kuat dan gagah untuk memperbanyakkan doa pada hari tersebut. 

 2. Puasa Hari 'Asyura dan Tasu'a.
'Asyura ialah 10 Muharam dan Tasu'a ialah 9 Muharam. Dalil disunatkan berpuasa pada hari ini ialah hadis Ibnu Abbas r.a.:
"Rasulullah s.a.w. telah berpuasa pada hari 'Asyura dan memerintahkan mereka berpuasa padanya". Riwayat al Bukhari (1900) dan Muslim (1030).
Hikmah disunatkan puasa hari Tasu'a di samping 'Asyura ialah untuk ihtiyat (berjaga-jaga) bimbang berlakunya kesilapan pada menetapkan awal bulan dan untuk membezakan diri dengan orang Yahudi kerana mereka hanya berpuasa pada hari yang kesepuluh sahaja. Oleh itu disunatkan bagi orang yang tidak berpuasa Tasu'a bersama dengan Asyura' agar dia berpuasa pada hari yang kesebelas.

3. Puasa hari isnin dan khamis
Dalilnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi (745) daripada 'Aisyah r.a. katanya:
"Rasulullah s.a.w. sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis". 

4. Puasa tiga hari setiap bulan
Yang afdhal ialah berpuasa pada hari-hari putih iaitu 13, 14 dan 15 bulan Qamariyah (tahun Hijrah).
Ia dinamakan hari-hari putih kerana malam hari-hari tersebut pada setiap bulan sentiasa disinari dengan cahaya bulan.
Dalil disunatkan puasa ialah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (114) dan Muslim (721) daripada Abu Hurairah r.a. katanya:
"Kekasihku s.a.w. telah berwasiat kepadaku dengan tiga perkara: berpuasa tiga hari pada setiap bulan, dua rakaat Dhuha dan hendaklah aku berwitir sebelum tidur".
Daripada Abu Qatadah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Puasa tiga hari dalam setiap bulan adalah sama dengan puasa untuk selama-lamanya". Riwayat Muslim (1162).
 
5. Puasa enam hari dalam bulan Syawal
Yang afdhalnya ialah segera dilakukan selepas hari raya Aidil Fitri secara berturut-turut. Walau bagaimanapun, ini bukanlah syarat bahkan kesunatan turut diperolehi juga jika dilakukan secara berasingan.
Muslim (1164) meriwayatkan daripada Abu Ayub r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa berpuasa Ramadhan dan diikuti dengan puasa 6 hari pada bulan Syawal maka seolah-olah dia telah berpuasa selama-lamanya".