Tuesday 6 November 2018

Hikmah Puasa

Puasa ialah ibadah badaniah, dan tindakan bersama yang berkaitan antara perasaan (kewajipan) dengan anggota badan. Amalan yang menghubungkan langsung antara batiniah dan lahiriah semasa mengerjakan ibadah puasa seseorang itu dapat mengawal pergerakan anggotanya selaras dengan kehendak jiwa.

Ketulusan, kejernihan dan kejujuran yang lahir dari amalan puasa ialah kesucian maknawi, dan bukannya kesucian lahiriah yang boleh dibersihkan dengan air pada pandangan mata kasar, tetapi kesucian rohaniah yang dapat dibersihkan dengan latihan jiwa dan amalan.

1. Mendidik orang-orang mukmin supaya budi pekerti yang mulia (luhur) dan semoga dapat mengawal seluruh hawa nafsunya dalam keinginan kepada perkara-perkara jahat (mungkar).

2. Mendidik jiwa agar biasa dan dapat menguasai diri, sehingga mudah menjalankan semua kebaikan dan meninggalkan segala larangan.

3. Membiasakan orang yang berpuasa dengan sifat sabar dan tahan dengan ujian.

4. Mendidik jiwa agar dapat memegang amanah sebaik-baiknya, kerana orang yang berpuasa itu sebagai seorang yang mendapat amanah untuk tidak makan dan minum atau hal-hal yang membatalkannya. Sedang amanah itu harus dapat dipegang teguh, baik di hadapan orang ramai mahupun ketika dalam keadaan sendirian.

5. Mendidik manusia supaya jangan mudah terpengaruh dengan sifat kebendaan, sekalipun ia dalam keadaan kesempitan atau kesusahan. Kerana orang Islam hendaklah berusaha dan mempertahankan keperibadian maruah diri dan juga kemuliaan Islam itu sendiri. Oleh yang demikian jangan sampai dia terjerumus dalam kemaksiatan disebabkan oleh kesempitan tersebut.

6. Diselidiki dari kesihatan, puasa sangat berfaedah untuk menjaga dan memperbaiki kesihatan. Kerana punca segala penyakit adalah datang dari perut, jika perut dijaga dan diberi kesihatan sudah tentu ia akan menjamin kepada kesihatan.

7. Menguatkan iman dan melahirkan insan yang sentiasa bersyukur kepada Allah atas kurniaan dan nikmat Allah kepadanya. Dengan itu jadilah mereka orang-orang yang bertakwa dan berbudi mulia.

8. Menanamkan rasa cinta kasih sesaman manusia terutama kepada orang-orang miskin, orang-orang yang menderita kelaparan dan kesengsaraan. Dengan latihan berlapar sepanjang hari selama sebulan itu mampu melahirkan orang yang memahami penderitaan orang miskin.