Monday, 5 November 2018

Beberapa Masalah Berhubung Dengan Ibadah Puasa

1. Makan dan minum kerana terlupa.
Bagi orang-orang Islam yang sedang berpuasa tiba-tiba makan atau minum di siang hari di bulan ramadhan kerana terlupa. Maka perbuatan kerana terlupa (tidak sengaja) tidak membatalkan puasa. Dengan kata lain dia boleh meneruskan puasanya.

2. Orang masih junub sampai terbit fajar.
 Bagi orang-orang Islam yang berpuasa di bulan ramadhan boleh berkumpul dengan suami isteri pada malam hari. Dan sekiranya sampai waktu fajar (waktu subuh) masih dalam keadaan junub (hadas besar), maka hendaklah dia segera mandi untuk menunaikan sembahyang subuh.

3. Berwudhuk di siang hari bagi orang yang berpuasa.
Rasulullah s.a.w. mengajarkan berwudhuk bagi orang-orang yang sedang berpuasa di siang hari, sesuai dengan sabdanya sebagai berikut:
"Dari Laqith bin Shabirah berkata: Aku berkata ya Rasulullah, ajarkanlah kepadaku berwudhuk. Rasulullah bersabda: Sempurnakanlah wudhuk  itu dan basuhlah di celah-celah jari dan perdalamlah menghirup air kecuali jika kamu sedang berpuasa". 

4. Bagi orang-orang perempuan atau isteri yang ingin mengerjakan ibadah puasa sunat, maka hendaklah terlebih dahulu mendapatkan keizinan daripada suaminya, sekiranya pada masa itu suaminya berada di rumah. Tetapi bagi puasa ramadhan ianya wajib dilaksanakan baginya dan tidak perlu mendapat keizinan dari suaminya. Dengan demikian menunaikan hak suami adalah utama daripada mengerjakan puasa sunat.