Kita mengetahui bahawa masuknya bulan puasa (Ramadhan) itu ialah dengan jalan atau cara melihat anak bulan Ramadhan atau dengan menghitung bilangan bulan Sya'ban mencukupkan bilangannya 30 hari.
Hadis daripada Rasulullah s.a.w.:
Maksudnya: "Berpuasalah kamu jika melihatnya (anak bulan) dan berbukalah bila melihatnya. Dan jika terhalang oleh awan, maka cukupkanlah bilangan Sya'ban itu tiga puluh hari".
Oleh yang demikian, puasa ramadhan itu akan dimulai dengan salah satu sebab berikut:
1. Melihat anak bulan ramadhan setelah terbenamnya matahari pada hari 29 Sya'ban.
2. Penetapan hakim syar'ie akan awal bulan ramadhan berdasarkan kepada keterangan saksi.
3. Penetapan awal bulan ramadhan dengan perhitungan ahli hisab (ahli falak). Apabila anak bulan tidak kelihatan, maka bulan sya'ban disempurnakan menjadi 30 hari.
4. Kaedah menggunakan perhitungan hisab dalam menentukan bermulanya puasa ramadhan berpandukan kepada firman Allah:
Maksudnya: "Allah yang telah menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya serta diaturnya tempat perjalanan, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan. Tuhan tidak menjadikan semuanya itu kecuali dengan pasti. Allah menerangkan segalanya dengan ayat-ayat bagi semua orang yang berpengetahuan".