Monday, 5 November 2018

Puasa Yang Dimakruhkan

1. Mengkhususkan puasa pada hari Jumaat sahaja
Dalilnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (1884) dan Muslim (1444) bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
"Janganlah seseorang di antara kamu berpuasa pada hari jumaat melainkan dia hendaklah berpuasa sehari sebelum itu ataupun sehari selepasnya".

2. Mengkhususkan puasa pada hari sabtu
Dalilnya ialah yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi (744) dan dihasankannya, Nabi s.a.w. bersabda:
"Janganlah kamu berpuasa pada hari sabtu melainkan apa yang telah difardhukan Allah kepada kamu".
Para ulama' juga telah berkata: "Dimakruhkan mengkhususkan puasa pada hari ahad kerana orang Yahudi mengagungkan hari sabtu dan orang Nasrani mengagungkan hari ahad".
 Walau bagaimanapun, tidak dimakruhkan berpuasa pada kedua-dua hari sabtu dan hari ahad kerana tiada golongan yang mengagungkan kedua-dua hari tersebut secara serentak.
Ahmad (6/324) meriwayatkan: 
Rasulullah s.a.w. lebih banyak berpuasa pada hari sabtu dan ahad dibandingkan dengan hari-hari yang lain. Baginda bersabda: "Sesungguhnya kedua-dua hari ini adalah hari raya bagi orang musyrik dan aku suka untuk menyalahi mereka".

3. Puasa setiap hari
Hukum makruh berpuasa setiap hari dikhususkan bagi sesiapa yang dibimbingi mendapat mudharat ataupun mensia-siakan hak orang lain apabila dia melakukannya (berpuasa setiap hari).
Al-Bukhari (1867) meriwayatkan:
Nabi s.a.w. telah mempersaudarakan di antara Salman dan Abu ad-Dardha'. Salman menziarahi Abu Dardha' dan beliau melihat Ummu ad-Dardha' dalam keadaan comot. Beliau bertanya: "Kenapa kamu?". Jawabnya: "Saudara kamu Abu ad-Dardha' tidak berhajat kepada dunia". Salman berkata: "Wahai Abu ad-Dardha'! Sesungguhnya Tuhan kamu mempunyai hak ke atas kamu (hak yang mesti kamu tunaikan), keluarga kamu mempunai hak ke atas kamu dan diri kamu mempunyai hak ke atas kamu, maka berilah hak tersebut kepada empunyanya." Abu ad-Dardha' menceritakan apa yang disebut oleh Salman kepada Nabi s.a.w.. Baginda s.a.w. bersabda: "Benarlah Salman".
Mengenai mereka yang berpuasa setiap hari tanpa memudaratkan dirinya dan tidak mensia-siakan hak orang lain yang wajib ditunaikan, maka tidak dimakruhkan dia melakukannya. Bahkan disunatkan kerana puasa adalah ibadah yang paling afdhal.