Tuesday, 6 November 2018

Niat-niat Puasa Wajib dan Sunat


"Sahaja aku berpuasa pada esok hari menunaikan fardu bulan ramadhan bagi tahun ini kerana Allah Ta'ala".





"Sahaja aku puasa pada esok hari daripada menggantikan fardhu ramadhan bersama sunat syawal keranan Allah Ta'ala".




"Sahaja aku puasa esok hari daripada bulan syawal sunat kerana Allah Ta'ala".




"Sahaja aku puasa esok hari sunat hari isnin kerana Allah Ta'ala".




"Sahaja aku puasa esok hari daripada hari khamis sunat kerana Allah Ta'ala".

Hikmah Puasa

Puasa ialah ibadah badaniah, dan tindakan bersama yang berkaitan antara perasaan (kewajipan) dengan anggota badan. Amalan yang menghubungkan langsung antara batiniah dan lahiriah semasa mengerjakan ibadah puasa seseorang itu dapat mengawal pergerakan anggotanya selaras dengan kehendak jiwa.

Ketulusan, kejernihan dan kejujuran yang lahir dari amalan puasa ialah kesucian maknawi, dan bukannya kesucian lahiriah yang boleh dibersihkan dengan air pada pandangan mata kasar, tetapi kesucian rohaniah yang dapat dibersihkan dengan latihan jiwa dan amalan.

1. Mendidik orang-orang mukmin supaya budi pekerti yang mulia (luhur) dan semoga dapat mengawal seluruh hawa nafsunya dalam keinginan kepada perkara-perkara jahat (mungkar).

2. Mendidik jiwa agar biasa dan dapat menguasai diri, sehingga mudah menjalankan semua kebaikan dan meninggalkan segala larangan.

3. Membiasakan orang yang berpuasa dengan sifat sabar dan tahan dengan ujian.

4. Mendidik jiwa agar dapat memegang amanah sebaik-baiknya, kerana orang yang berpuasa itu sebagai seorang yang mendapat amanah untuk tidak makan dan minum atau hal-hal yang membatalkannya. Sedang amanah itu harus dapat dipegang teguh, baik di hadapan orang ramai mahupun ketika dalam keadaan sendirian.

5. Mendidik manusia supaya jangan mudah terpengaruh dengan sifat kebendaan, sekalipun ia dalam keadaan kesempitan atau kesusahan. Kerana orang Islam hendaklah berusaha dan mempertahankan keperibadian maruah diri dan juga kemuliaan Islam itu sendiri. Oleh yang demikian jangan sampai dia terjerumus dalam kemaksiatan disebabkan oleh kesempitan tersebut.

6. Diselidiki dari kesihatan, puasa sangat berfaedah untuk menjaga dan memperbaiki kesihatan. Kerana punca segala penyakit adalah datang dari perut, jika perut dijaga dan diberi kesihatan sudah tentu ia akan menjamin kepada kesihatan.

7. Menguatkan iman dan melahirkan insan yang sentiasa bersyukur kepada Allah atas kurniaan dan nikmat Allah kepadanya. Dengan itu jadilah mereka orang-orang yang bertakwa dan berbudi mulia.

8. Menanamkan rasa cinta kasih sesaman manusia terutama kepada orang-orang miskin, orang-orang yang menderita kelaparan dan kesengsaraan. Dengan latihan berlapar sepanjang hari selama sebulan itu mampu melahirkan orang yang memahami penderitaan orang miskin.

Hikmah Disembunyikan Lailatul Qadar

Para ulama' salaf berkata: Allah menyembunyikan maam lailatul qadar daari pengetahuan manusia dengan beberapa nikmat yang tersembunyi:

1. Allah menyembunyikan malam lailatul qadar dalam beberapa malam supaya kita menghidupkan malam-malam tersebut dengan amal ibadah.

2. Allah menyembunyikan saat ijabah pada hari jumaat supaya kita berdoa sepanjang hari.

3. Allah menyembunyikan mana-mana ketaatan yang mendapat keredhaanNya supaya kita mengerjakan semua ketaatan dengan sepenuh hati.Dan disembunyikan maksiat yang dimurkai Allah supaya kita sentiasa berwaspada menjauhi segala bentuk kemaksiatan.

4. Allah menyembunyikan saat kedatangan hari kiamat supaya kita selalu bersiap sedia.

Menghidupkan malam lailatul qadar ialah dengan mengerjakantaat (perintah) seperti sembahyang tahajjud, beristighfar, berzikir, membaca al-Quran, iktikaf, memperbanyakkan ihsan serta bersedekah. Kelebihanmengerjakan amalan pada malam lailatul qadar adalah berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w. Dan orang yang mengerjakan ibadah pada malam itu sekalipun ia tidak mengetahui malam itu lailatul qadar maka dia mendapat ganjaran pahala, lebih-lebih lagi mereka yang mengetahuinya tetntu dia melaksanakan ibadah dengan lebih sempurna.

Ertinya:
"Barangsiapa mengerjakan ibadah pada malam di bulan ramadhan dengan penuh keimanan kepada Allah dan mengharapkan keredhaanNya, nescaya diampunkan Allah dosanya yang telah lalu".

Lailatul Qadar dan Keutamaannya

Lailatul qadar ialah malam yang penuh berkat, yang mempunyai keistimewaan. Beramal pada malam tersebut seperti mengerjakan sembahyang, zikir dan membaca al-Quran, lebih utama dari amalan selam seribu bulan yang tidak mempunyai lailatul qadar.

Lailatul qadar diertikan juga dengan perkataan takdir dan adakalanya bermakna kemuliaan dan kebesaran, iaitu malam yang mulia yang diturunkan al-Quran padanya. Malam lailatul qadar adalah malam yang paling mulia sepanjang tahun berdasarkan firman Allah Ta'ala dalam surah al-Qadr, ayat 1-3:

Maksudnya:
1. Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar,
2. Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu?
3. Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.


Keutamaannya

1. Pada malam lailatul qadar turunnya al-Quran
2. Pada malam lailatul qadar para malaikat tturun ke dunia ini untuk menyaksikan amal ibadah mereka.
3. Pada malam itu dibuka pintu langit dari terbenam matahari sehingga terbit fajar. Turunnya malaikat ke bumi, maka bertebaranlah ke seluruh pelusuk dunua, dan masuk ke dalam rumah orang-orang mukmin sambil bertasbih, tahlil dan tahmid dan memohon ampun bagi umat Nabi Muhammad s.a.w.
4. Malam lailatul qadar hanya ditentukan untuk umat Nabi Muhammad s.a.w., tetapi tidak ada bagi umat-umat Nabi sebelumnya, dan malam lailatul qadar akan berterusan sehingga hari kiamat.

Martabat Orang Yang Berpuasa

Ibadah puasa adalah salah satu rukun Islam, dan orang-orang yang mengerjakannya akan mendapat ganjaran pahala dari Allah S.W.T. Dalam ibadah puasa ini terdapat beberapa darjat atau kedudukan orang-orang yang berpuasa seperti berikut:

1. Puasa umum

2. Puasa khusus

3. Puasa khususul khusus


Puasa Umum

Puasa umum ialah puasa orang-orang yang hanya mampu menahan diri  dari makan, minum, bersetubuh di siang hari serta dapat mengawal diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan tetapi tidak boleh memelihara tata tertib puasa atau melawan kehendak hawa nafsunya, yang boleh membawa luputnya pahala ibadahnya.

Puasa Khusus

Puasa khusus ialah mereka yang mampu mengawal diri dari makan, mium, perkara yang membatalkan puasa dan berjaya mengawal hawa nafsunya dengan memelihara anggotanya dari melakukan perkara mungkar yang boleh mengurangkan pahala puasanya, seperti menjaga lidah daripada bercakap bohong, dusta, mengumpat dan sebagainya. Di samping itu mereka memperbanyakkan amalan-amalan sunat seperti membaca al-Quran, berzikir, sembahyang sunat, membuat amal kebajikan dan lain-lain. Oleh yang demikian orang-orang Islam hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai tingkat puasa khusus, mudah-mudahan amalan mereka diterima Allah.

Puasa Khususil Khusus

Ahli khususul khusus ialah mereka yang memelihara hati dari segala rupa yang selain dari Allah dan sentiasa mengingatinya. Inilah martabat puasa para nabi dan siddiqin.


Kesimpulannya; puasa yang diwajibkan ke atas kita mengerjakannya oleh al-Quran, bukanlah puasa lahir (badaniah) dan bersifat kebendaan dengan menjauhi perkara yang membatalkan puasa. Tetapi puasa yang dikehendaki ialah yang bersifat rohaniah dengan berusaha mencapai tujuan syariat yang membentuk sifat takwa pada diri muslim.

Monday, 5 November 2018

Beberapa Masalah Berhubung Dengan Ibadah Puasa

1. Makan dan minum kerana terlupa.
Bagi orang-orang Islam yang sedang berpuasa tiba-tiba makan atau minum di siang hari di bulan ramadhan kerana terlupa. Maka perbuatan kerana terlupa (tidak sengaja) tidak membatalkan puasa. Dengan kata lain dia boleh meneruskan puasanya.

2. Orang masih junub sampai terbit fajar.
 Bagi orang-orang Islam yang berpuasa di bulan ramadhan boleh berkumpul dengan suami isteri pada malam hari. Dan sekiranya sampai waktu fajar (waktu subuh) masih dalam keadaan junub (hadas besar), maka hendaklah dia segera mandi untuk menunaikan sembahyang subuh.

3. Berwudhuk di siang hari bagi orang yang berpuasa.
Rasulullah s.a.w. mengajarkan berwudhuk bagi orang-orang yang sedang berpuasa di siang hari, sesuai dengan sabdanya sebagai berikut:
"Dari Laqith bin Shabirah berkata: Aku berkata ya Rasulullah, ajarkanlah kepadaku berwudhuk. Rasulullah bersabda: Sempurnakanlah wudhuk  itu dan basuhlah di celah-celah jari dan perdalamlah menghirup air kecuali jika kamu sedang berpuasa". 

4. Bagi orang-orang perempuan atau isteri yang ingin mengerjakan ibadah puasa sunat, maka hendaklah terlebih dahulu mendapatkan keizinan daripada suaminya, sekiranya pada masa itu suaminya berada di rumah. Tetapi bagi puasa ramadhan ianya wajib dilaksanakan baginya dan tidak perlu mendapat keizinan dari suaminya. Dengan demikian menunaikan hak suami adalah utama daripada mengerjakan puasa sunat.

Puasa Yang Diharamkan

1. Puasa dua hari 'aidil fitri dan 'aidil adha.

2. Puasa tiga hari Tasyrik.

3. Puasa hari syak iaitu hari ke-30 bulan Sya'ban.
Ini kerana manusia merasa ragu-ragu apakah ia termasuk bulan Sya'ban ataupun bulan Ramadhan, disebabkan tidak sabit rukyah hilal pada waktu itu. Oleh itu tidak diharuskan berpuasa pada hari tersebut bahkan ia hendaklah dianggap sebagai baki hari bagi bulan Sya'ban.

4. Puasa pada separuh kedua bulan Sya'ban.
Walau bagaimanapun, puasa pada hari syak dan puasa pada separuh kedua bulan Syak'ban tidak diharamkan apabila hari syak bertepatan dengan hari kebiasaannya berpuasa, ataupun dia telah berpuasa pada separuh yang pertama dan disambung dengan separuh kedua bulan sya'ban.

Puasa Yang Dimakruhkan

1. Mengkhususkan puasa pada hari Jumaat sahaja
Dalilnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (1884) dan Muslim (1444) bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
"Janganlah seseorang di antara kamu berpuasa pada hari jumaat melainkan dia hendaklah berpuasa sehari sebelum itu ataupun sehari selepasnya".

2. Mengkhususkan puasa pada hari sabtu
Dalilnya ialah yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi (744) dan dihasankannya, Nabi s.a.w. bersabda:
"Janganlah kamu berpuasa pada hari sabtu melainkan apa yang telah difardhukan Allah kepada kamu".
Para ulama' juga telah berkata: "Dimakruhkan mengkhususkan puasa pada hari ahad kerana orang Yahudi mengagungkan hari sabtu dan orang Nasrani mengagungkan hari ahad".
 Walau bagaimanapun, tidak dimakruhkan berpuasa pada kedua-dua hari sabtu dan hari ahad kerana tiada golongan yang mengagungkan kedua-dua hari tersebut secara serentak.
Ahmad (6/324) meriwayatkan: 
Rasulullah s.a.w. lebih banyak berpuasa pada hari sabtu dan ahad dibandingkan dengan hari-hari yang lain. Baginda bersabda: "Sesungguhnya kedua-dua hari ini adalah hari raya bagi orang musyrik dan aku suka untuk menyalahi mereka".

3. Puasa setiap hari
Hukum makruh berpuasa setiap hari dikhususkan bagi sesiapa yang dibimbingi mendapat mudharat ataupun mensia-siakan hak orang lain apabila dia melakukannya (berpuasa setiap hari).
Al-Bukhari (1867) meriwayatkan:
Nabi s.a.w. telah mempersaudarakan di antara Salman dan Abu ad-Dardha'. Salman menziarahi Abu Dardha' dan beliau melihat Ummu ad-Dardha' dalam keadaan comot. Beliau bertanya: "Kenapa kamu?". Jawabnya: "Saudara kamu Abu ad-Dardha' tidak berhajat kepada dunia". Salman berkata: "Wahai Abu ad-Dardha'! Sesungguhnya Tuhan kamu mempunyai hak ke atas kamu (hak yang mesti kamu tunaikan), keluarga kamu mempunai hak ke atas kamu dan diri kamu mempunyai hak ke atas kamu, maka berilah hak tersebut kepada empunyanya." Abu ad-Dardha' menceritakan apa yang disebut oleh Salman kepada Nabi s.a.w.. Baginda s.a.w. bersabda: "Benarlah Salman".
Mengenai mereka yang berpuasa setiap hari tanpa memudaratkan dirinya dan tidak mensia-siakan hak orang lain yang wajib ditunaikan, maka tidak dimakruhkan dia melakukannya. Bahkan disunatkan kerana puasa adalah ibadah yang paling afdhal.

Membatalkan Puasa Sunat dan Puasa Qadha'

Seseorang muslim yang berpuasa sunat diharuskan membatalkan puasa jika dia mahu, dan dia tidak diwajibkan mengqadha'kannya. Walau bagaimanapun, hukumnya adalah makruh. Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Orang yang berpuasa sunat adalah ketua kepada dirinya; jika dia mahu, dia boleh meneruskan puasanya, dan jika dia mahu juga, dia boleh berbuka". (Riwayat al-Hakim (1/439)).
Tetapi orang yang sedang mengqadha' puasa wajib adalah diharamkan dia membatalkan puasanya itu, kerana keadaannya yang sudah memulakan puasa qadha' itu, mewajibkan dia menyempurnakannya.

Puasa Sunat

Puasa sunat (tatawwu') ialah puasa yang disunatkan. Tatawwu' bermaksud mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala dengan ibadah yang tidak difardhukan.

1. Puasa Hari Arafah
Iaitu pada 9 Zulhijjah. Ia disunatkan kepada orang yang tidak menunaikan haji (bagi bukan jemaah haji). Daripada Abu Qatadah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. ditanya mengenai puasa Arafah. Sabda Baginda:
"Ia menghapuskan dosa-dosa tahun yang lalu dan tahun yang akan datang". (Riwayat Muslim (1162)).

Hari Arafah adalah sebaik-baik hari. Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
"Tidak ada hari yang lebih ramai Allah S.W.T . membebaskan hamba-Nya dari api neraka lebih daripada hari arafah". (Riwayat Muslim (1134)).
Bagi jemaah haji, mereka tidak disunatkan berpuasa. Malah disunatkan berbuka sebagai mengikut Nabi s.a.w. dan supaya dia tetap kuat dan gagah untuk memperbanyakkan doa pada hari tersebut. 

 2. Puasa Hari 'Asyura dan Tasu'a.
'Asyura ialah 10 Muharam dan Tasu'a ialah 9 Muharam. Dalil disunatkan berpuasa pada hari ini ialah hadis Ibnu Abbas r.a.:
"Rasulullah s.a.w. telah berpuasa pada hari 'Asyura dan memerintahkan mereka berpuasa padanya". Riwayat al Bukhari (1900) dan Muslim (1030).
Hikmah disunatkan puasa hari Tasu'a di samping 'Asyura ialah untuk ihtiyat (berjaga-jaga) bimbang berlakunya kesilapan pada menetapkan awal bulan dan untuk membezakan diri dengan orang Yahudi kerana mereka hanya berpuasa pada hari yang kesepuluh sahaja. Oleh itu disunatkan bagi orang yang tidak berpuasa Tasu'a bersama dengan Asyura' agar dia berpuasa pada hari yang kesebelas.

3. Puasa hari isnin dan khamis
Dalilnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi (745) daripada 'Aisyah r.a. katanya:
"Rasulullah s.a.w. sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis". 

4. Puasa tiga hari setiap bulan
Yang afdhal ialah berpuasa pada hari-hari putih iaitu 13, 14 dan 15 bulan Qamariyah (tahun Hijrah).
Ia dinamakan hari-hari putih kerana malam hari-hari tersebut pada setiap bulan sentiasa disinari dengan cahaya bulan.
Dalil disunatkan puasa ialah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (114) dan Muslim (721) daripada Abu Hurairah r.a. katanya:
"Kekasihku s.a.w. telah berwasiat kepadaku dengan tiga perkara: berpuasa tiga hari pada setiap bulan, dua rakaat Dhuha dan hendaklah aku berwitir sebelum tidur".
Daripada Abu Qatadah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Puasa tiga hari dalam setiap bulan adalah sama dengan puasa untuk selama-lamanya". Riwayat Muslim (1162).
 
5. Puasa enam hari dalam bulan Syawal
Yang afdhalnya ialah segera dilakukan selepas hari raya Aidil Fitri secara berturut-turut. Walau bagaimanapun, ini bukanlah syarat bahkan kesunatan turut diperolehi juga jika dilakukan secara berasingan.
Muslim (1164) meriwayatkan daripada Abu Ayub r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa berpuasa Ramadhan dan diikuti dengan puasa 6 hari pada bulan Syawal maka seolah-olah dia telah berpuasa selama-lamanya".

Orang Yang Tidak Wajib Qadha Tetapi Wajib Bayar Fidyah

Orang yang boleh tidak berpuasa dan tidak wajib ganti (qadha), tetapi wajib membayar fidyah, iaitu memberi makanan kepada fakir miskin setiap hari berupa makanan yang mengenyangkan (makanan asasi) sebanya satu cupak.
1. Diberi keringanan untuk tidak berpuasa, orang yang telah tua bangka baik lelaki mahupun perempuan. Orang sakit yang telah tidak ada harapan akan sembuh. Maka diberi keringanan berbuka, jika dengan berpuasa itu akan menyulitkan dan memberati mereka sepanjang musim dalam tahun itu.
Diberi keringanan kepada orang tua lanjut usia untuk berbuka dan kepada orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh lagi dan tidak kuat berpuasa, dan sebagai gantinya mereka dikehendaki membayar fidyah iaiatu memberi makanan kepada fakir miskin setiap hari puasa yang ditinggalkan dengan secupak makanan.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 184:
 
Maksudnya: "Bagi orang-orang yang sulit melakukannya, hendaklah mereka membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin".

Orang Yang Dibolehkan Berbuka Puasa dan Wajib Ganti

Orang yang dibolehkan berbuka puasa pada bulan ramadhan, tetapi wajib ke atasnya menggantikan puasanya di hari yang lain sebanyak bilangan yang ditinggalkan ialah:
1. Orang yang sedang sakit dan sakit yang menyebabkan bolehnya dia berbuka puasa ialah sakit berat yang ada harapan sembuh atau sakit yang akan bertambah berat dengan sebab berpuasa atau khuatir akan bertambah lambat sembuh.
2. Orang yang dalam perjalanan atau musafir yang melebihi dua marhalah, atau dengan kata lain perjalanan yang jauh. Sebagaimana yang dijelaskan dalam al-Quran surah al-Baqarah, ayat 184:
Maksudnya: "Sesiapa yang sakit di antara kamu atau dalam perjalanan, hendaklah ia mengqadhakannya (menggantikan puasanya) pada hari-hari yang lain".
Dalam masalah ini yang lebih baik (afdhal) ialah yang lebih menyenangkan jika seseorang itu merasa lebih mudah baginya berpuasa ketika itu dan merasa susah baginya menggantikan di kemudian hari, maka meneruskan puasa adalah lebih baik baginya.

3. Orang yang hamil (mengandung) dan dikhuatirkan akan membawa mudharat bagi diri dan kandungannya.
4. Orang yang sedang menyusui anaknya yang merasa khuatirkan kesihatan diri dan anaknya.
5. Orang yang sedang haid, bersalin (melahirkan anak) atau nifas.
6. Juga wajib ganti bagi orang-orang yang batal puasanya kerana salah satu sebab yang membatalkannya.

Perkara Makruh Sewaktu Berpuasa

Perkara makruh sewaktu berpuasa ialah melanggar adab-adab yang telah disebutkan. Sebahagiannya termasuk dalam perkara makruh tanzihi (yang perlu ditinggalkan) seperti melewatkan berbuka dan menyegerakan sahur. Sebahagiannya pula termasuk dalam perkara yang diharamkan seperti mengumpat, menghasut, mencela dan mendusta.

Adab-adab / Sunat-sunat Puasa

Puasa mempunyai adab yang banyak. Kami ringkaskan seperti berikut:

1. Menyegerakan berbuka.
Ini dilakukan sejirus setelah diyakini tenggelamnya matahari. Dalilnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (1856) dan Muslim (1098) daripada Sahal bin Sa'ad r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya: "Manusia akan terus berada dalam kebaikan selagimana mereka terus menyegerakan berbuka".

Yang paling afdhal ialah berbuka dengan buah kurma yang kering ataupun basah, sekiranya tidak ada kurma, maka dengan air.
At-Tirmizi (696) dan Abu Daud (2356) telah meriwayatkan:
Maksudnya: "Nabi s.a.w. berbuka sebelum sembahyang (Maghrib) dengan beberapa biji kurma basah. Sekiranya tidak ada kurma basah, maka Baginda berbuka dengan tamar kering. Sekiranya tidak ada juga, maka Baginda menghirup beberapa teguk air, sesungguhnya ia adalah suci".


2. Sahur.
Sahur bermaksud makanan yang dimakan pada akhir malam. Dalil sahur disunatkan ialah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (1823) dan Muslim (1095). Nabi s.a.w. bersabda:
Maksudnya: "Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya dalam sahur itu ada barakah". 

Hikmah disunatkan sahur adalah untuk menguatkan diri melakukan puasa. 
Al-Hakim di dalam al-Mustadrak (1/425) meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
Maksudnya: "Dapatkanlah bantuan dengan memakan sahur untuk menguatkan puasa pada siang hari".
Masuknya waktu sahur ialah dengan berlalunya separuh malam. Fadhilat sahur diperolehi dengan memakan sesuatu tidak kira banyak atau sedikit ataupun sekadar meminum air sahaja. Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam sahihnya sabda Nabi s.a.w.:
Maksudnya: "Bersahurlah kamu walaupun dengan seteguk air". (Mawarid az-Zham'aan: 884).
 
3. Melewatkan sahur.
Ini dilakukan dengan berhenti makan dan minum ketika fajar hampir terbit. Dalilnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya (5/147) daripada Nabi s.a.w.:
Maksudnya: "Umatku terus berada dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan bersahur". 
 
Al-Bukhari (556) meriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a.:
Maksudnya: Nabi s.a.w. dan Zaid bin Thabit bersahur. Apabila keduanya selesai bersahur, maka Nabi s.a.w. bangun mendirikan sembahyang. Kami bertanya kepada Anas; "Berapa lamakah masa antara kamu berdua selesai bersahur dan mendirikan sembahyang?". Jawabnya: "Sekadar 50 ayat yang dibacakan oleh lelaki". 
 

4. Meninggalkan kata-kata yang mesti dijauhi.
Kata-kata yang mesti dijauhi seperti mencela, mencela, menipu, mengumpat dan menghasut. Seseorang yang berpuasa juga hendaklah menahan dirinya daripada perkara-perkara syahwat seoerti melihat wanita dan mendengar lagu-lagu. Al-Bukhari (1804) meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah bersabda:
"Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan beramal dengannya maka Allah tidak memerlukannya untuk meninggalkan makan dan minumnya".
Ketahuilah bahawa mencela, menipu, mengumpat, menghasut dan seumpamanya merupakan perkara yang sememangnya diharamkan. Namun perkara baru dalam masalah ini bagi orang-orang yang berpuasa ialah (selain ia adalah dosa) ia akan menghapuskan pahala puasa walaupun hukum puasanya sah dan dikira telah melaksanakan kewajipan. Oleh itu perkara-perkara ini dianggap sebagai adab dan sunat-sunat puasa. 


5. Mandi junub sebelum fajar.
Ini dilakukan untuk memastikan dirinya bersih daripada awal puasa lagi. Ini bermakna junub tidak menidakkan puasa tetap yang lebih afdhal ialah menyelesaikannya sebelum fajar.
Dalilnya ialah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (1825) dan (1830):
Nabi s.a.w. pernah bangun pagi di dalam keadaan junubkerana jima' tanpa bermimpi kemudian Baginda mandi dan berpuasa.
Wanita haid dan nifas juga disunatkan agar mandi sebelum fajar apabila telah sempurna suci dan darah berhenti sebelum itu.

6. Tidak berbekam dan seumpamanya
Ini kerana ia akan melemahkan diri orang yang berpuasa. Dia juga hendaklah tidak merasa makanan kerana dibimbangi sesuatu akan masuk ke dalam rongganya. Ini kerana apabila sesuatu masuk ke dalam al-jauf, makapuasanya batal.

7. Berdoa sewaktu berbuka
Doa tersebut ialah:

 Boleh juga berdoa dengan doa ini:


8. Menyediakan makanan untuk mereka yang berbuka puasa
Sekiranya dia tidak mampu memberikan mereka makan, dia hendaklah memberikan buah kurma ataupun minuman untuk mereka berpuasa.
Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
"Barangsiapa yang menyediakan makanan berbuka untuk orang yang berpuasa, maka dia mendapat ganjaran sepertinya (orang berpuasa) tanpa dikurangkan ganjaran orang yang berpuasa itu sedikitpun". (Riwayat at-Tirmizi (807) dan disahihkannya).

9. Banyak bersedekah, membaca al-Quran, bertadarus dan beriktikaf di masjid terutama pada 10 malam terakhir.
Anas r.a. berkata:
Rasulullah s.a.w. ditanyakan: "Wahai Rasulullah apakah sedekah yang paling utama?". Jawabnya: Sedekah pada bulan Ramadhan". Riwayat at-Tirmizi (663).

Saturday, 3 November 2018

Perkara Yang Membatalkan Puasa

1. Memasukkan sesuatu ke dalam ruang rongga anggota badan dengan sengaja seperti makan, minum, merokok, memasukkan benda ke dalam telinga atau ke dalam lubang hidung hingga melewati pangkal hidung.

2. Muntah dengan sengaja, tetapi kalau muntah yang tidak dengan sengaja tidak membatalkan puasa.

3. Haid dan nifas, perempuan yang haid dan nifas haram ke atasnya mengerjakan puasa, tetapi wajib ke atasnya menggantikan sebanyak hari yang ditinggalkannya.

4. Mengeluarkan mani dengan sengaja pada siang hari di bulan ramadhan, seperti mencium atau memeluk isterinya, maka batal puasanya dan wajib ganti (qadha).

5. Bersetubuh (jimak) pada waktu siang hari dalam keadaan berpuasa atau selepas waktu fajar siddiq, maka batal puasanya dan wajib ganti dan bayar kafarah.

Apabila seseorang merosakkan (membatalkan) puasanya dengan bersetubuh pada siang hari maka wajib ke atasnya memberi kafarah, iaitu dengan memerdekakan seorang hamba, jika tidak sanggup hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut, jika tidak sanggup hendaklah dia memberi makanan kepada 60 orang miskin.

6. Gila walaupun sebentar.

7. Mabuk ataupun pengsan (tidak sedarkan diri) sepanjang hari.

8. Murtad iaitu keluar dari agama Islam.

Syarat-syarat Sah Puasa

1. Beragama Islam

2. Mumayiz. Ertinya kanak-kanak yang dapat membezakan antara perkara yang baik dengan tidak baik. Dengan kata lain bukan kanak-kanak yang terlalu kecil dan bukan orang gila.

3. Suci (bersih) dari haid dan nifas. Wanita yang sedang dalam haid dan nifas tidak sah puasa mereka, tetapi wajib ke atas mereka menggantikan pada waktu lain sebanyak bilangan hari yang ditinggalkan.

4. Tidak di dalam hari-hari yang diharamkan kta berpuasa, iaitu di luar bulan ramadhan.

Orang yang diwajibkan berpuasa

1. Beragama Islam. Puasa itu wajib atas orang Islam, dan ianya tidak wajib ke atas orang kafir, sebab puasa merupakan ibadah Islamiyah.

2. Baligh dan berakal. Kanak-kanak dan orang gila tidak diwajibkan berpuasa. Walau bagaimanapun kanak-kanak digalakkan berpuasa sebagai latihan dan membiasakan diri dengan ibadah puasa.

3. Perempuan yang suci daripada haid dan nifas, kerana perempuan yang berada dalam keadaan haid dan nifas diharamkan ke atasnya berpuasa.

4. Berkuasa (ada kekuatan). Ertinya kuasa di sini tidak sakit dan bukan yang sudah terlalu tua, mereka ini boleh tidak mengerjakan puasa tetapi wajib ke atasnya membayar fidyah.

5. Sihat dan menetap, kerana orang yang ada dalam perjalanan atau musafir dan orang sakit diharuskan baginya berbuka puasa tetapi wajib ke atasnya menggantikan sebanyak hari yang ditinggalkan.

Rukun Puasa

Ada dua rukun puasa yang mana ianya masing-masing merupakan unsur terpenting dari hakikat puasa iaitu:

a) Niat: Iaitu niat puasa ramadhan waktunya setelah terbenam matahari sehingga sebelum terbit fajar saddiq. Ertinya pada malam harinya dalam hati kita telah berniat bahawa besok harinya akan mengerjakan puasa wajib ramadhan.


Ertinya: Sahaja aku puasa esok hari daripada menunaikan fardhu bulan ramadhan bagi tahun ini kerana Allah Ta'ala.



Ertinya: Sahaja aku puasa esok hari daripada bulan syawal sunat kerana Allah Ta'ala.


b) Meninggalkan daripada makan, minum dan segala sesuatu yang boleh membatalkan puasa mulai dari terbit fajar siddiq sehingga terbenamnya matahari.

Penetapan Puasa

Kita mengetahui bahawa masuknya bulan puasa (Ramadhan) itu ialah dengan jalan atau cara melihat anak bulan Ramadhan atau dengan menghitung bilangan bulan Sya'ban mencukupkan bilangannya 30 hari.

Hadis daripada Rasulullah s.a.w.:

Maksudnya: "Berpuasalah kamu jika melihatnya (anak bulan) dan berbukalah bila melihatnya. Dan jika terhalang oleh awan, maka cukupkanlah bilangan Sya'ban itu tiga puluh hari".


Oleh yang demikian, puasa ramadhan itu akan dimulai dengan salah satu sebab berikut:
1. Melihat anak bulan ramadhan setelah terbenamnya matahari pada hari 29 Sya'ban.
2. Penetapan hakim syar'ie akan awal bulan ramadhan berdasarkan kepada keterangan saksi.
3. Penetapan awal bulan ramadhan dengan perhitungan ahli hisab (ahli falak). Apabila anak bulan tidak kelihatan, maka bulan sya'ban disempurnakan menjadi 30 hari.
4. Kaedah menggunakan perhitungan hisab dalam menentukan bermulanya puasa ramadhan berpandukan kepada firman Allah:
Maksudnya: "Allah yang telah menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya serta diaturnya tempat perjalanan, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan. Tuhan tidak menjadikan semuanya itu kecuali dengan pasti. Allah menerangkan segalanya dengan ayat-ayat bagi semua orang yang berpengetahuan". 
 

Hukum Puasa

Puasa ramadhan itu hukumnya wajib, berdasarkan kepada ayat al-Quran, hadis Rasulullah s.a.w. dan Ijmak ulama'.

1. Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 183:

Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa".

2. Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 185:

Maksudnya:
(Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu Yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa Yang sakit atau Dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari Yang ditinggalkan itu pada hari-hari Yang lain. (dengan ketetapan Yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Pengertian Puasa dan Bahagiannya

Pengertian puasa mengikut bahasa ialah menahan diri.

Manakala puasa menurut istilah hukum syarak ialah menahan diri daripada makan, minum dan apa juga perkara yang boleh membatalkan puasa bermula terbit fajar hingga terbenamnya matahari dengan disertai niat pada malam hari.


Pembahagian Puasa

Dalam ajaran agama Islam, puasa boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu puasa wajib (fardhu) dan puasa sunat (tathawwu). Dan puasa fardhu ada tiga bentuk:
1. Puasa ramadhan
2. Puasa kaffarah
3. Puasa nazar